PERKEMBANGAN PERJALANAN SALIB BELIA MENUJU SYD6

Artikel oleh : Media SYD-6 dan Koordinator TPBP Gereja Holy Rosary Limbahau

Papar – Pelancaran Sabah Youth Day kali ke-6 (SYD-6) telah berlalu pada beberapa bulan yang lepas. Perjalanan menuju ke SYD-6 kali ini adalah sedikit berbeza daripada SYD lepas. Salib Belia dan ikon Bonda Maria yang sebelum ini bergerak dari paroki ke paroki di setiap Diosis kini hanya akan bergerak dari Diosis ke Diosis sahaja.

Pada 26 November 2023, seramai 300 belia bersama umat sekitar Paroki Limbahau dan Papar berkumpul untuk merayakan Hari Belia Sedunia yang ke-38 di dataran Gereja Holy Rosary Limbahau. Perayaan kali ini menjadi lebih istimewa dan bermakna kerana disambut bersama dengan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria. Antara pengisian program tersebut adalah Konsert Mini, Perkongsian Iman bersama Religious serta Pujian dan Penyembahan. Mendalami pesan Bapa Suci melalui tema ‘Bersukacita Dalam Pengharapan’, sambutan kali ini menaikkan lagi semangat para belia melalui lagu-lagu yang dibawakan dalam Konsert Mini, dengan harapan agar para belia dapat terus menjadi terang dan garam bagi dunia, berani bersaksi dan memberitakan khabar sukacita Kristus kepada semua orang. Program ini diakhiri dengan penghormatan Salib Belia di dalam Gereja Holy Rosary Limbahau. Fr Joshua Liew, Fr Lasius Gantis, Sr Juanah, Sr Jaslia serta para novis turut hadir bersama merayakan perayaan Hari Belia Sedunia ini.

Belia di Paroki Limbahau terus mengambil peluang untuk menjalankan beberapa aktiviti bersama Salib Belia dan ikon Bonda Maria sebelum dihantar ke Kathedral. Salib Belia dan ikon Bonda Maria akan dibawa mengelilingi ke beberapa chapel di sekitar Holy Rosary Limbahau selepas Krismas. Chapel yang terlibat adalah St. Patrick Kinuta, St. Teresa of Avila Kogopon, St. Linus Lingan, dan St. Monica Moindang. Semoga dengan peluang ini, para belia dan umat sekitar dapat lebih menghayati, dan menemui sukacita dalam pengharapan untuk bersedia berhadapan dengan semua persoalan hidup.

Sharing is caring!