Keningau – Setiap tahun, para anggota legionaris berkumpul untuk memperbaharui janji komitmen mereka sebagai anggota dan sebagai “tentera” yang selalu bertempur bersama Bonda Maria. Seramai 500 anggota legionaris di bawah Komisium Keuskupan Keningau hadir, dan memperbaharui komitmen mereka untuk setahun lagi.
Pada tahun ini, para legionaris mengadakan ACIES pada peringkat Komisium dan pada hari yang sama juga merayakan Pesta St Joseph yang merupakan suami kepada Bonda Maria dan bapa angkat bagi Yesus, Sang Putera. St Joseph kerap kali dalam tradisi merupakan bapa angkat Yesus dan peranan dan kedudukannya, lain dari Bonda Maria. Menurut Injil Matius 1:19, St Joseph disebut sebagai seorang yang tulus hati (mencari dengan jujur apa yang menjadi kehendak Allah). Kitab Suci menampilkan St Joseph sebagai peribadi yang jujur dan saleh, berkehendak baik dan penuh dengan kebajikan. Dalam perayaan Keluarga Kudus, St Joseph mendapat penghormatan yang sepantasnya.
Dalam kesempatan ini, Rev Fr Joseph Gapitang selaku pembimbing rohani mengajak para legionaris untuk melihat peranan mereka sebagai tentera-tentera Bonda Maria. Beliau di dalam permenungannya berharap apa yang akan disampaikan bermanfaat bagi para anggota LOM. Setiap tahun, para anggota berkumpul untuk memperbaharui kembali komitmen mereka sebagai tentera-tentera yang siap sedia bertempur bersama dengan Bonda Maria melawan kekuasaan si jahat. Setan sejak awal sudah menjadi musuh kepada Bonda Maria dan berani menyerang Allah Tritunggal Mahakudus. Setan telah mengacau-balaukan karya Allah yang agung, karya cintakasih dan kemuliaan. Setan telah mengalahkan karya Allah Bapa dengan menipu makhluk-makhluk yang lain untuk memberontak melawan Allah dengan menyebarkan kebohongan agar tidak percaya kepada Allah. Setan mencuba untuk menyesatkan manusia agar tidak mempercayai karya penebusan yang dikerjakan oleh Yesus dan mencuba menyesatkan banyak umat di dalam gereja dengan ketidaksetiaan yang telah menyebar bagaikan sel-sel kanser yang ganas.
Para legionaris diminta untuk mempersembahkan doa-doanya demi keselamatan dan kesihatan Bapa Suci. Bapa Suci mempunyai peranan yang besar di dalam menjaga kesatuan umat Katolik dan penegak kebenaran. Si Setan berhasil mengelabui manusia dengan kebohongan-kebohongan yang dibisikkan ke dalam hati manusia dan dosa semakin dibenarkan dan tidak ditakuti lagi. Perbuatan jahat semuanya dipandang baik adanya. Inilah tujuan para legionaris, mendoakan doa Salam Maria sebagai senjata melawan tipu muslihat si musuh. Walaupun anggota legionaris tampaknya tidak memiliki peranan yang begitu menonjol di bidang pelayanan dan sebagainya.
Allah Tritunggal yang Mahakudus iaitu Bapa, Putera dan Roh Kudus telah mempercayakan kepada Bonda Maria tugas untuk memimpin bala tentera-Nya di dalam peperangan melawan Setan yang sejak semula musuh Allah yang licik dan jahil. Allah telah mempercayakan kepada Bonda Maria, pelaksanaan rencana-Nya kepada hamba-Nya yang hina dina.
Selanjutnya, Rev Fr Jospeh Gapitang mengingatkan kepada para anggota legionaris bahawa kehidupan mereka sebagai tentera-tentera tidak pernah lepas dari Ekaristi. Tanpa kehadiran di dalam perayaan Ekaristi dan menerima Tubuh Tuhan, tidak mungkin para anggota memiliki hubungan yang akrab, dan tidak mungkin para anggota mampu bertahan melawan godaan dan tipu muslihat si jahat. Ekaristi adalah Sumber dan Puncak hidup seorang kristiani. Selain daripada itu, Sakramen Rekonsiliasi juga perlu diperhatikan sebagai jalan pertobatan secara peribadi dan sebagai satu komuniti. Tanpa kerendahan hati dan ketergantungan hidup kepada kerahiman dan belaskasihan Tuhan, tidak mungkin para anggota dapat mempercayai bahawa lautan kerahiman Tuhan itu tidak terbatas dan melebihi fikiran manusia.
Janji yang bakal diucapkan “Aku adalah milikmu ya Ratu dan Bondaku dan segala milikku adalah kepunyaanmu” membawa kepada permenungan bahawa sebagai legionaris, setiap anggota mestilah memiliki ketergantungan dan penyerahan diri kepada Bonda Maria. Berdasarkan janji kesetiaan ini, bagaimanakah sikap hidup kita sebagai prajurit Maria. Kita tahu bahawa Bonda Maria akan membimbing kita secara lembut dan perlahan-lahan, Bonda Maria akan mengubah kita menjadi gambar anak-Nya yang sangat setia.