15032300_1242844019095859_2799572907374873449_n

Membakut – Walaupun telah diumumkan Misa Kudus bermula jam 5 petang, namun umat telah mula membanjiri perkarangan Gereja St. Patrick Membakut sekitar jam 2 petang lagi. Lebih 2000 umat yang datang bukan sahaja dari paroki-paroki di Keuskupan Keningau malah terdapat juga ratusan umat yang dari Keuskupan Kota Kinabalu khususnya umat dari daerah Papar dan Penampang. Umat yang datang dari dekat dan jauh ini sanggup berdiri berjam-jam malah tidak mempedulikan hujan yang turun kerana mahu memasuki buat kali terakhir dan menyaksikan upacara Penutupan Pintu Suci Berbelas Kasih  Gereja St. Patrick Membakut.

15036380_1242839002429694_5825917234706168366_n

Tepat jam 5 petang, walaupun hujan masih turun renyai-renyai Uskup Datuk Cornelius Piong bersama para paderi berarak dari Rumah Paderi dengan iringan nyanyian Litani Para Kudus dan berhenti di hadapan gereja. Kemudian, Msgr. Gilbert Engan mewartakan Injil sebelum memimpin doa khas untuk memasuki Pintu Suci Berbelas Kasih buat kali yang terakhir. Setelah beliau membuka Pintu Suci tersebut, semua umat dipersilakan masuk bergilir-gilir. Lebihkurang 30 minit barulah umat selesai memasuki Pintu Suci lalu diikuti oleh para paderi dan Uskup Datuk Cornelius di belakang sekali.
15073542_1242839269096334_2661365785143362899_n

Setelah Uskup mengadakan upacara pembukaan Misa Kudus, beliau dan beberapa orang paderi membantunya memberkati umat dengan percikan air berkat di dalam dan luar gereja. Selepas itu, beliau dibantu oleh Msgr. Gilbert menyempurnakan upacara Penutupan Pintu Suci Berbelas Kasih Gereja St. Patrick Membakut dengan menutup dan mengunci pintu tersebut seterusnya kunci diserahkan kepada Pengerusi MPP St. Parick Membakut. Serentak dengan upacara menutup Pintu Suci, Rev. Fr. Paul Mikin selaku Rektor Paroki melaungkan “Pintu Dibuka” bagi membolehkan pintu besar gereja dibuka seperti biasa. Selesai semuanya, Misa Kudus dijalankan seperti biasa.

15000645_1242851665761761_3311663760648473913_o

Di dalam homilinya, Uskup memberitahu umat bahawa walaupun Pintu Suci Berbelas Kasih telah ditutup tetapi belas kasihan Tuhan tidak pernah tertutup kepada umatnya dan belas kasihnya tidak akan memilih walau siapapun kita asal sahaja kita benar-benar mahu meminta belas kasihan daripadaNya. Uskup mengajak umat untuk sama-sama maju dengan kesatuan yang kuat bersama Tuhan agar dapat sama-sama merealisasikan visi dan misi Keuskupan Keningau mahu dibentuk supaya komited dan efektif melayani di dalam kerajaanNya.
Beliau menekankan bahawa sebagai seorang Katolik yang telah dibaptis maka perjalanan iman kita adalah berlandaskan 3 perkara iaitu: Mahu mengenal Tuhan, mahu mengasihi Tuhan dan mahu melayani Tuhan. Menurut beliau, kemungkinan sebelum ini sebagai manusia yang mempunyai pengetahuan yang cetek tentang Tuhan maka kita menyangka bahawa Tuhan itu suka menghukum dan menghakimi. Justeru, kata beliau; kita sangat bersyukur kerana pada Tahun Berbelas Kasih ini sedikit sebanyak kita telah diberi peluang untuk lebih mengenal Tuhan yang sesungguhnya sangat berbelas kasihan kepada semua manusia tanpa mengira pangkat dan kedudukan asal sahaja kita sungguh-sungguh mahu datang kepadaNya kerana Tuhan kita adalah Allah yang sungguh berbelas kasihan. Uskup mengambil contoh sepertimana perumpamaan di dalam Injil yang mengisahkan tentang “anak yang hilang”.

15036380_1242839002429694_5825917234706168366_n

Uskup menyeru umat agar setiap hari mengambil masa untuk berdoa, mengambil masa membaca dan merenung firman Tuhan, mengambil masa untuk aktif melayani di gereja bersama komuniti supaya kehadiran Tuhan itu sentiasa dapat dialami. Sepertimana harapan Sri Paus Francis sempena Tahun Berbelas Kasihan ini, bapa uskup juga mengharapkan perkara yang sama agar setelah kita diresapi semangat berbelas kasihan maka kita semua hendaknya dengan rela membawa dan mengamalkan cintakasih Allah itu kepada sesama kita dan menjadi rela sebagai mata, tangan dan telinga belas kasihan Allah dalam keluarga, komuniti dan masyarakat kita.
Selesai Misa Kudus, Uskup dan para paderi serta umat  menonton “slideshow” yang disediakan oleh Rev. Fr. Dr. Charles Chiew berkaitan dengan Tahun Berbelas Kasih yang telah dijalani selama setahun oleh umat di Keuskupan Keningau. Uskup dan para paderi mengambil tempat di altari setelah selesai menonton “slideshow” seterusnya bersama umat mendengar Msgr. Gilbert mengimbas semula program-program yang telah dan akan dijalankan di Keuskupan Keningau sebagai persiapan menyambut Jubli Perak Penubuhannya pada tahun 2018; Kepimpinan Bersifat Hamba(2014), Keluarga: Anak-anak(2015), Keluarga: Belia(2016), Keluarga: Ibubapa dan Warga Emas(2017) dan Keluarga: KKD, Paroki dan Keuskupan(2018).

15056376_1242844312429163_5403715745104943776_n

Sebelum pemberkatan umat dan sesi bergambar, Uskup datuk Cornelius Piong melancarkan Logo dan “bunting banner” Tahun Keluarga: Ibubapa dan Warga Emas Peringkat Keuskupan Keningau yang akan dilaksanakan bermula Disember tahun ini hingga Mei 2017 dan menyerahkan “Booklet” serta “bunting banner” Tahun Keluarga: Ibubapa dan Warga Emas kepada semua paroki dan MPM Keuskupan Keningau.

Selesai acara di dalam gereja, Uskup dan para paderi serta umat berkumpul di Dewan Paroki untuk menikmati makan malam sebagai tanda kesyukuran. – Marcus Angang

This will close in 20 seconds