Hari Minggu Paska Ke – 6 ( B )
Kis. 10:25-26,34-35,44-48; 1Yoh.4:7-10; Yoh. 15:9-17
Konon di masa dahulu ada seorang tua tinggal dekat pintu gerbang masuk ke sebuah perkampungan. Orang-orang yang mahu masuk ke kampung tersebut seringkali singgah ke rumah orang tua tersebut untuk bertanyakan pelbagai soalan tentang kampung tersebut. Suatu hari ada seorang pengembara datang bertanya kepadanya, “Bagaimanakah sikap orang-orang di kampung ini?” “Bagaimanakah sikap orang-orang di kampung asalmu?” Tanya orang tua itu pula. “Di kampung di mana saya tinggal,” kata penggembara tersebut, “Orang-orangnya semua baik hati, pemurah, murah senyuman, ringan tangan dan tidak suka berburuk sangka.” “Engkau, akan menemui orang-orang seperti itu di kampung ini dan mereka akan menerimamu dengan penuh keikhlasan lengkap dengan senyuman, tidak berburuk sangka, baik hati, pemurah dan ringan tangan,” kata orang tua tersebut.
Kemudian tidak lama kemudian, seorang pengembara yang lain datang bertemu dengan orang tua tersebut dan bertanya dengan soalan yang sama, “Bagaimanakah sikap orang-orang di kampung ini?” “Bagaimana sikap orang-orang di kampung asalmu?” Tanya orang tua itu pula. “Di kampung dari mana saya datang,” kata penggembara tersebut, “Orang-orangnya semua penipu dan pencuri, mereka adalah orang-orang yang sangat teruk sekali!” “Anakku,” kata orang tua tersebut dengan nada yang sayu, “Engkau akan menemui orang-orang yang sama di kampung ini, penipu dan pencuri kerana itu mereka adalah orang-orang yang sangat teruk sekali,” kata orang tua tersebut.
Melalui kisah tersebut di atas maka jelaslah bahawa kita melihat melalui mata hati kita. Jika terdapat cinta kasih di dalam hati kita, maka kita akan melihat cinta kasih. Sekiranya terdapat dendam kesumat dan luka-luka di dalam hati kita, maka kita akan melihat dendam dan luka-luka batin. Malangnya, gaya dan corak kehidupan seperti ini boleh menurun dari generasi ke generasi yang seterusnya. Kita membalas kejahatan dengan kejahatan. Maka tidak hairanlah kita sering mendengar atau mengalaminya sendiri bahawa mereka yang pernah dianiaya secara fisikal oleh ibu bapanya sendiri sejak mereka masih kecil, akan berbuat demikian juga terhadap anak-anak mereka sendiri.
Yesus memang sedar tentang realiti kehidupan kita yang cukup mencabar kesabaran kita apabila Dia bercakap tentang cinta kasih, kedamaian dan tentang nasihat untuk tidak takut atau merasa takut di dalam hati kita. “Jikalau kamu menuruti perintah-Ku, kamu akan tinggal di dalam kasih-Ku…” (Yoh 15:10). Mengasihi Allah, pertama-tama kita perlu mengakui dan menerima hakekat bahawa kita dikasihi oleh Allah. Apabila kita menerima hakekat ini, maka kita menjadi semakin bebas daripada rasa ketakutan. Apabila kita menjadi lebih bebas daripada belenggu ketakutan maka cara kita melihat keberadaan sesama kita juga mula berubah. Dan apabila cara kita melihat juga berubah, maka sikap dan gaya hidup kita juga mula berubah.
Pada hari ini Yesus secara istemewa menghimbau kita untuk mengamalkan budaya saling mengasihi sama seperti Allah Bapa mengasihi kita. Kasih yang dimaksudkan bukan kasih ‘pandang pertama’ yang seringkali diakhiri dengan perceraian akibat ‘perselisihan pertama’ yang biasanya hanya bersifat remeh temeh. Ianya juga berbeza dengan kasih keluarga, kerana saudara mara biasanya ‘terpaksa’ menolong kerana ada kaitan saudara. Demikian juga kasih yang diajarkan Yesus ini berbeza dengan kasih di antara handai taulan sebab kita boleh dipeluk cium oleh orang-orang yang bodoh dan diperbodohkan oleh pelukan dan ciuman.
Cinta kasih Allah sangat berbeza sebab kasih-Nya adalah memberikan nyawa-Nya hingga ke kematian. Tetapi apakah kasih-Nya ini sungguh nyata atau hanya seperti roh-roh yang sering diperkatakan orang tapi tidak dapat dilihat? Memang tidak! Cinta kasih Allah nyata adanya dan ianya nyata melalui tubuh dan darah Yesus, “Dalam hal inilah kasih Allah dinyatakan di tengah-tengah kita, iaitu bahawa Allah telah mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia, supaya kita hidup oleh-Nya” (1Yoh 4:9).
Kita didorong untuk mengamalkan dan memperlihatkan kepada sesama kita sekomuniti cinta kasih Allah yang dinyatakan oleh Yesus itu. Sebab cinta kasih adalah merupakan jiwa bagi setiap komuniti.
Saling mengasihi antara satu dengan yang lain bukalah merupakan suatu ucapan yang dipenuhi dengan kata-kata yang sudah basi tetapi ianya merupakan suatu petua atau preskripsi juga bukan merupakan sekadar sesuatu nasihat tetapi merupakan suatu arahan. Dalam Injil tadi, Yesus telah mengucapkan sebanyak sembilan kali perkataan ‘kasih’, menandakan bahawa betapa pentingnya budaya kasih itu bagi kehidupan kita sejak dahulu hinggalah sekarang ini.
Memang kita sungguh memerlukan iman yang teguh untuk mempercayai bahawa kasih merupakan asas realiti kehidupan. Kita sungguh memerlukan keberanian untuk terus mengasihi terutama ketika kasih kita ditolak. Kita juga memerlukan pengharapan untuk dapat mengasihi apabila rasa segan, takut dan tekanan yang menyerang dari dalam diri kita sendiri.
Sepanjang hidup kita, kita berjuang untuk berharap di dalam kuasa cinta kasih. Seperti yang kita semua tahu, para Santo Santa juga telah berjuang untuk mendapatkannya, dan akhirnya mereka telah membawa keselesaan dan kekuatan bagi ramai orang.
Kisah berikut ini mungkin dapat menjelaskan betapa hebatnya kuasa kasih itu.
Suatu hari ada seorang kaya mengadakan jamuan makan besar-besaran untuk sahabat handai dan rakan niaganya. Meja-meja makan dipenuhi dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat belaka. Tetapi yang anehnya hanya terdapat sudu-sudu yang panjang. Ada orang yang mencuba sendiri menggunakan sudu tersebut tetapi tidak dapat menyuapkan ke dalam mulut kerana senduk tersebut terlalu panjang sehingga mengganggu orang yang berada di sebelah menyebelahnya. Maka orang-orang tersebut tidak dapat makan dan hanya duduk kelaparan sambil menggerutu.
Namun ramai juga yang menggunakan senduk yang panjang itu untuk saling menyuapkan makanan ke mulut teman-temannya yang bersebelahan sambil tertawa riang ria. Mereka berpuas hati kerana dapat menikmati makanan sambil melayani antara satu dengan yang lain dengan penuh keikhlasan dan kepedulianan.
Semoga kita umat kristian sungguh percaya terhadap kuasa cinta kasih Kristus yang telah diberikan kepada kita. Semoga kita mengamalkan budaya kasih Kristus serta melayani sesama. Maka dengan demikian kita akan sesungguhnya hidup serta mengatakan kepada dunia bahawa Allah itu hidup dan Dia adalah Juru Selamat kita mengingat bahawa, “Allah adalah kasih, dan sesiapa tetap berada di dalam kasih, ia tetap berada di dalam Allah dan Allah di dalam dia” (1Yoh 4:16). (JL)
Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD.
1 Menurut anda apakah perbezaan makna kasih menurut ukuran duniawi dibandingkan dengan nilai-nilai kasih yang diajarkan oleh Yesus Kristus?
2 Bagaimanakah cara-caranya supaya budaya kasih itu boleh disemai delam keluarga kita sendiri.
Cadangan aktiviti minggu ini.
Ungkapkanlah perasaan “Aku cinta padamu,” kepada pasangan anda dalam bentuk yang anda rasa selesa. Demikian juga dengan anak-anak dan jiran tetangga, terutama pada sesama yang selama ini tidak sehaluan pendapat dengan anda, buatlah sesuatu yang membuat mereka merasa selesa dan dapat bersemuka dengan anda dalam keadaan yang harmonis.