Keningau – Haleluya! Tuhan telah bangkit. Haleluya! Inilah seruan yang seringkali dilaung-laungkan ketika merayakan Malam Paska. Katedral Gereja St Francis Xavier juga tidak ketinggalan untuk turut serta melaungkan slogan yang sama. Ribuan umat Katolik yang bernaung di bawah Paroki St Francis Xavier, hadir merayakan Malam Paska (04/04/2015).
Ada pun dalam perayaan Sabtu Suci, umat dipersiapkan melakukan tirakatan malam Paska untuk mempersiapkan hari kebangkitan Yesus Kristus yang jatuh pada Minggu (05/04). Menurut Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong, Malam Paska atau Sabtu Suci merupakan puncak dari pekan suci Paska yang dirayakan oleh umat Katolik di seluruh dunia. Pekan suci diawali dengan Minggu Palma, Khamis Putih, Jumaat Agung, Sabtu Suci dan Minggu Paska.
Pada Sabtu Suci, misteri Kristus akan dirayakan secara intensif. Perayaan agung Sabtu Suci atau lebih dikenali sebagai Malam Paska terbagi dalam empat bahagian. Pertama adalah upacara cahaya, kedua adalah liturgi sabda, ketiga adalah upacara pembaptisan dan yang keempat adalah liturgi Ekaristi. Perayaan akan diawali dengan upacara penyalaan lilin Paska sebagai simbol kebangkitan Yesus Kristus yang menjadi terang dunia, lalu liturgi sabda, pembaptisan dan Ekaristi.
Dalam homilinya, Bapa Uskup bersyukur kepada Tuhan kerana dapat bersama-sama umat untuk merayakan Malam Paska, iaitu kebangkitan Tuhan. Kebangkitan Kristus seperti yang dikatakan oleh Rasul Paulus adalah jaminan segala-galanya bagi kita yang mengikuti Yesus tidak sia-sia. Kebersamaan kita pada malam ini adalah ungkapan keyakinan kita bahawa Yesus itu sungguh-sungguh hidup. Yesus tidak dipanggil “mendiang” tetapi kita memanggil Dia sebagai Tuhan yang bangkit, Tuhan yang hidup. Yesus memberi jaminan: “Aku menyertai kamu sampai akhir zaman”.
Namun, perlu kita ingati dalam kehidupan kita sehari-hari, lebih-lebih apabila kita berhadapan dengan cabaran-cabaran iman, bagaimana kita dapat membangun iman yang sungguh-sungguh, iman yang berkualiti iaitu iman yang sedar, yang bersaksi dan yang bertahan. Bagaimana kita dapat membangun iman seperti itu ditengah-tengah cabaran iman yang makin hari makin berat kita hadapi. Perlu kita ingati bahawa iman kristiani kita ini merupakan atau bersifat relasi yang akrab dengan Yesus.
Kita yang telah dibaptis, telah menerima Yesus sebagai Tuhan. Beliau juga mengingatkan kepada para calon baptis yang akan dibaptis dan diterima dalam persekutuan umat beriman, bahawa hanya dengan pembaptisan tidak cukup dan tidak lengkap untuk menjadi pengikut-pengikut Yesus yang sungguh-sungguh. Seperti dalam surat Paulus kepada Umat di Kolose, Paulus berpesan bahawa kita perlu sesudah menerima Kristus sebagai Tuhan melalui pembaptisan kita, selain memperbaharui janji-janji baptis kita setiap tahun, kita perlu berusaha menyatukan diri kita dengan peribadi Yesus. Kita dapat menjalin kesatuan yang akrab dengan Yesus dari ketaatan kita tiap hari, komited mengambil masa untuk berdoa, meluangkan masa merenung firman Tuhan, setiap minggu hadir ke Gereja untuk menyembah Dia dan sentiasa terlibat, ambil peduli apa yang diperlukan untuk membangun gereja.
Bapa Uskup turut berpesan agar umat tidak mengikuti jalan fikir dan perbuatan Yudas Iskariot. Dia sanggup menjual Yesus dengan beberapa puluh keping wang. Dia menjual Yesus bukan sahaja kerana ketamakannya akan wang, tetapi lebih dari itu, Yudas tidak memiliki relasi yang akrab dengan Yesus. Yudas tidak menerima Yesus sebagai Tuhan, tetapi hanya sebatas guru sahaja (bdk. Matius 26:25). Untuk itu, sekali lagi Bapa Uskup dengan tegas berpesan kepada umat, untuk mengukuhkan iman yang berkualiti, kita perlu setiap hari berusaha supaya Yesus benar-benar menjadi Tuhan bagi kita. Itulah kunci bagaimana kita dapat memiliki iman yang sedar, yang bersaksi dan yang bertahan.