Lambang yang digunakan oleh Uskup Datuk Cornelius Piong untuk Keuskupan Keningau adalah berupa sebuah perisai. Sepertimana Perisai digunakan untuk menangkis serangan-serangan musuh, begitu juga perisai disini melambangkan alat yang digunakan untuk menangkis segala serangan iblis. Di atasnya terletak sebuah topi uskup yang berwarna hijau dengan enam utas jumbai yang berwarna emas tergantung di kedua-dua belah topi itu. Ini melambangkan perpaduan Gereja tempatan dengan Gereja sejagat.
Dimuka perisai tergambar lambang Ekaristi, Firman Tuhan, komuniti dan sifat asli Keuskupan Keningau.
Berikut adalah penerangan singkat makna setiap bahagian lambang :
Topi dan Jumbai : Dalam tradisi Gereja Katolik kedua-duanya melambangkan jawatan seseorang Uskup Diocese.
Alkitab, Roti dan cawan : Melambangkan Firman Tuhan dan Ekaristi yang menjadi sumber dan kesegaran kehidupan kristiani.
Corak “Pinungu Lansat Sinubang” yang ditempatkan di empat penjuru melambangkan komuniti umat Katolik yang dibentuk berpusat pada Ekaristi dan Firman Tuhan.
Penyusunan lambang komuniti umat Katolik adalah berbentuk salib, melambangkan perjuangan, pengorbanan dan cinta kasih Kristus Yesus yang harus menjadi semangat setiap komunti.
Warna Kuning yang berpinggir corak ‘Inandus’ melambangkan keaslian Keuskupan Keningau di dalam Gereja sejagat.
Warna Hijau berpinggir ‘Inandus’ melambangkan kehijauan dan kemurnian ekologi Keuskupan Keningau yang harus disayangi dan dikawal dari bahaya-bahaya pencemaran. Ianya juga melambangkan harapan dan kesegaran hidup sepertimana impian Allah Pencipta untuk umat manusia.
Slogan KEBAHAGIAAN ADALAH KEKITAAN adalah ilham dari cara hidup umat Kristian pertama (KPR. 2:41-47). Tujuan menggunakan slogan ini ialah mendorong umat diseluruh Keuskupan Keningau supaya menghargai, melindungi dan menghayati semangat KEKITAAN yang sedia ada didalam keluarga dan masyarakat. Kebahagiaan sejati hanya dapat dialami apabila semangat saling menerima dan memberi perhatian terhadap kebajikan satu sama lain dan persekitaran diamalkan didalam keluarga dan masyarakat. Komuniti umat Katolik adalah diharap akan menjadi penggerak ke arah Visi dan Misi Keuskupan Keningau. Dan dengan itu dapat berjuang di dalam perjalanan iman bersama Gereja Sejagat.