Renungan Hari Minggu Paska Ke 2 (C)
Kis.5:12-16; Wah. 1:19-13,17-19; Yoh. 20:19-31
Hari minggu yang lalu, hari minggu paskah pertama, kita menyaksikan satu peristiwa yang mengejutkan kepada tiga orang sahabat Yesus iaitu mula-mula Maria Magdalena yang awal pagi pergi ke kubur kemudian Petrus dan Yohanes. Mereka menyaksikan kubur yang kosong namun semangat paskah tidak berakhir dengan kubur yang kosong. Ketiga-tiga mereka mengalami Yesus yang sudah bangkit. Ini bererti kubur yang kosong itu bukan sahaja menandakan iman yang kosong tetapi juga memberi erti iman dan harapan yang baru yang disemangati oleh kebangkitan Yesus.
Rasa kehilangan Yesus pada mulanya bukanlah sesuatu yang sia-sia atau buang masa tetapi rasa kehilangan itu telah menimbulkan transformasi iman. Pengalaman rasa kehilangan Yesus iaitu kekosongan iman membawa untuk mencari iman yang dibaharui berkat kebangkitan Yesus.
Hari minggu paskah kedua ini memberitahu kita bahawa kebangkitan Yesus terus memenuhi kekosongan iman para rasul (komuniti rasul) walaupun mereka penuh keragu-raguan dan ketakutan. Mereka telah mengurungkan diri mereka didalam bilik yang menandakan bahawa mereka dikurung oleh keragu-raguan dan ketakutan. Kematian Yesus telah menanamkan rasa takut mereka. Kita dapat merasakan situasi mereka pada ketika itu, mereka mengalami kekosongan hidup iaitu tidak merasa aman dan damai kerana dihantui dengan keragu-raguan dan ketakutan sebab mereka takut mereka menerima nasib yang sama. Namun dalam keadaan ketidaktentuan itu Yesus memperlihatkan Diri-Nya buat kali pertamanya dan memberi semangat kedamaian yang baru dengan berkata, “damai sejahtera bagi kamu!” Kehadiran Yesus yang sudah bangkit telah membangkitkan sukacita. Sekali lagi Yesus berkata bagi kedua kali, “damai sejahtera bagi kamu!” Kali ini dia mengutus mereka dan keluar dari bilik ketakutan seperti Dia yang diutus oleh Bapa.
Salah satu dari rasul yang tidak bersama komuniti rasul itu iaitu Tomas tidak percaya bahawa kawan-kawannya telah bertemu dengan Yesus. Dia tidak mahu mempercayai selagi dia melihat Yesus. Yesus memperlihatkan Diri-Nya buat kali kedua untuk meyakinkan Tomas dan akhirnya Tomas juga percaya dengan menyatakan kepercayaannya yang penuh keyakinan, “Ya Tuhan dan Allahku!” Kemudian Yesus juga memberi keyakinan kepada kita semua bahawa walaupun kita tidak bertemu Yesus secara fizikal namun iman kita akan membawa kita bertemu Yesus yang sudah bangkit. Oleh itu keutuhan iman akan kebangkitan Yesus sangat memainkan peranan untuk menikmati kebahagiaan.
Dalam masa Paskah ini kita diajak untuk memantapkan iman kita akan Yesus yang sudah bangkit dan kini hidup ditengah-tengah kita, dalam diri kita, keluarga dan komuniti kita. Hanya dengan iman kita kepada Yesus, kita dapat menikmati kedamaian dan sukacita yang penuh walaupun kita hidup dalam dunia yang penuh kekacauan dan kebinggungan. Jika kita seorang yang memiliki sukacita dan damai dari Yesus maka Yesus pun mengutus kita untuk mengongsikan sukacita dan damai ini kepada orang lain terutama kepada saudara dan saudari kita yang sukar menemui sukacita dan damai Tuhan.
Soalan renungan.
- Apakah selama ini anda sudah menikmati sukacita dan damai dalam diri anda sendiri, pelayanan, keluarga dan komuniti?
- Apakah kesempatan-kesempatan yang ada dalam konteks kita masa kini untuk mengongsikan sukacita dan damai Tuhan?