KENINGAU: Pusat Pastoral Keuskupan Keningau (PPKK) atau dulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Katekis (PUSKAT) yang telah dibina dan diasaskan oleh Fr. Georg Bauer seorang Misionari Mill Hill pada Oktober 1966, merayakan Jubli Emasnya pada 27 – 29 April yang lalu.
Dalam buku cendera kenangan sempena perayaan ulang tahun ke-50 PPK, Ketua Keuskupan Keningau, Uskup Cornelius Piong berkata, “Kita bersyukur kepada Tuhan atas dorongan dan bimbingan Roh Kudus yang memampukan Fr. Georg Bauer dan timnya pada waktu itu untuk memulakan dan mengendalikan kursus-kursus untuk para katekis seluruh Sabah ketika memulakan PUSKAT. Usaha mereka ini sangat membantu di dalam membangun iman yang berkualiti bagi umat Katolik di Sabah sejak tahun enam puluhan. Walaupun pada masa itu serba kekurangan tetapi saya merasa bahawa mereka telah meletakkan asas yang betul dalam pembangunan iman Katolik umat kita di Sabah.”
Lanjutnya, Uskup Cornelius menjelaskan bahawa, “Setelah Keuskupan Keningau ditubuhkan dan mengambil alih pengurusan PUSKAT, kita telah menukar nama Institusi ini kepada “Pusat Keuskupan Keningau” (PPK). Penukaran nama Institusi ini adalah berdasarkan keperluan pastoral semasa. Institusi ini tidak lagi terhad kepada usaha-usaha melatih para Katekis Ibadat sahaja tetapi terbuka kepada umat yang ingin menambah pengetahuan dan melatih diri di bidang-bidang pelayanan pastoral yang lebih luas – seperti bidang kepemimpinan, memimpin doa, membimbing kateketik dan sebagainya.”
Dalam kesempatan yang sama, Uskup Cornelius memaparkan bahawa Institusi ini sudah menabur jasa membimbing ramai Katekis Ibadat dan Pemimpin Umat dari seluruh Sabah. Sejak ditubuhkan hingga sekarang ini, Institusi ini telah mengeluarkan lebih 2000 Katekis Ibadat dan Pemimpin Umat. Beliau mengucapkan syabas kepada staf dan tenaga pengajar PPK yang kini diketuai oleh Fr. Rudolf Joannes.
Selama tiga hari berhimpun di PPK, 400 Katekis yang pernah belajar di PUSKAT/PPK gembira dapat bertemu kembali dengan para tenaga pengajar serta rakan-rakan dari pelbagai Paroki dan Keuskupan. Pada hari pertama, selepas pendaftaran, para Katekis sibuk membuat persiapan untuk pameran mengenai aktiviti di Paroki atau Komiti Pelayanan masing-masing.
Hari kedua dimulakan dengan Perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Uskup Cornelius. Selepas Misa, ia diteruskan dengan sesi ucapan daripada Fr Rudolf, Pengarah PPK sebelum upacara perasmian yang diadakan di Dataran Keuskupan.
Para Katekis juga mendengar beberapa ceramah iaitu “Peranan dan Halatuju PPK” yang disampaikan oleh Sdra John Lainsin, selaku Pengetua PPK manakala ceramah kedua disampaikan oleh Tuan Suman Yasambun dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah yang bertanggungjawab kepada Adat dan Istiadat Anak Negeri yang lebih mengkhusus kepada Undang-Undang Perkahwinan Menurut Adat-Istiadat Tempatan.
Ini diikuti dengan ceramah ketiga oleh Msgr Gilbert Engan tentang “Undang-Undang Gereja”.
Para Katekis juga berpeluang mengemukakan ceramah melalui sesi soal jawab yang dipengerusikan oleh Cikgu Fredoline Umis, dan tiga panel sesi soal jawab iaitu Msgr Gilbert, Fr Rudolf dan Cikgu John Liansin.
Pada sebelah malam, diadakan majlis makan malam yang turut dihadiri oleh Uskup Cornelius. Pada ketika ini, para hadirin berkesempatan mendengar lagu rasmi PPK yang dicipta oleh Cikgu John Liansin. Lagu itu dipersembahkan secara koir oleh para pelajar PPKK yang sedang mengikuti Kursus Katekis Tahap 2.
Pada hari terakhir perayaan ulang tahun ke-50 PPK, Uskup Cornelius meminta para Katekis terus melayani dengan tabah dan tidak gentar dengan pelbagai rintangan kerana Roh Kudus sentiasa menyertai mereka. Prelatus itu juga menyeru para Katekis agar menggalakkan kaum muda untuk menjadi Katekis.
Selepas Misa Kudus, para Paderi dan para Katekis menikmati makan tengah hari di Dataran Keuskupan bersama beberapa pemimpin politik iaitu Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Datuk Radin Malleh dan Datuk Ellron Alfred Angin. Staf yang pernah berkhidmat di PPK turut dikenang melalui acara penyampaian sijil.