Renungan Hari Minggu Biasa Ke 12 ( C )
Zak. 12:10-11 – 13:1 Gal. 3:26-29 Luk. 9:18-24
“Siapakah Aku ini?” Pertanyaan yang diajukan oleh Yesus kepada murid-murid-Nya. Pertanyaan ini juga adalah pertanyaan yang perlu dijawab oleh setiap pengikut Yesus pada hari ini. Menurut kamu, “Siapakah Aku ini?” Yesus menghendaki jawaban peribadi dari kita bukan dalam bentuk teori dan intelek. Dengan kata lain kita menjawab dari pengalaman peribadi kita.
Sesudah beberapa lama bersama Yesus maka Petrus sudah melihat segala apa yang telah dilakukan oleh Yesus; menyembuhkan orang-orang yang sakit, lumpuh, buta, mengampuni, mengajar dan mengasihi. Perbuatan-perbuatan Yesus ini direnungkankan oleh Petrus dan membuat kesimpulan bahawa Yesus bukan sahaja seorang nabi tetapi lebih daripada itu. Kerana itu, dia menjawab bahawa Yesus adalah “Mesias dari Allah.” Namun Petrus mungkin tidak begitu mengerti apa yang diucapkannya itu. Bagi Petrus dan murid-murid yang lain menjadi Mesias atau Kristus bererti kemenangan, kemuliaan dan hormat. Namun, jalan dan kehendak Tuhan berbeza dari fikiran dan kehendak manusia.
Justeru itu, Yesus segera menjelaskan bahawa Mesias harus menanggung banyak penderitaan dan ditolak, dibunuh sebelum Dia bangkit pada hari ketiga. Jalan yang dipilih oleh Yesus ialah jalan salib dan jalan inilah yang menjadi jalan yang diikuti oleh setiap pengikut-Nya. Jika kita menerima Yesus sebagai Mesias atau Kristus bererti kita bersedia untuk menyangkal diri, memikul salib setiap hari.
Didunia ini, banyak jalan yang menjadi pilihan kita untuk diikuti dan jalan-jalan ini semuanya mudah sahaja sebab jalan-jalan tersebut direka oleh manusia. Kalau boleh jalan itu haruslah dicipta semudah mungkin, tidak membebankan dan boleh membantu cepat sampai ke penghujung. Kalau boleh jangan membahayakan nyawa kita, jalan pintas lebih digemari. Namun dalam mengikuti Yesus, kita tidak dijanjikan dengan jalan pintas dan juga tidak dijanjikan jalan mudah malah Yesus dengan tegasnya memberi amaran bahawa “Sesiapa mahu menyelamatkan nyawanya, ia akan kehilangan nyawanya; tetapi sesiapa kehilangan nyawanya kerana Aku, Ia akan menyelamatkannya.”
Jadi, jika kita menemui jawaban siapa Yesus maka kita sudah menemui jalan untuk mengikuti Dia. Ikutilah jalan salib Yesus dan jangan cuba memotongnya dalam perjalanan iman kita sebab salib itu tidak cukup panjang untuk menjadi jambatan kita menyeberangi jurang yang panjang. Umat kristian tidak boleh dipisahkan dengan salib dan umat kristian tanpa salib bukanlah pengikut Yesus yang benar. Umat kristian tidak ditempatkan berada di istana raja tetapi ditempatkan di dalam keluarga yang penuh cabaran, umat kristian ditempatkan ditengah-tengah orang yang tidak beriman, ditengah-tengah orang miskin dan mereka yang susah. Inilah jalan salib yang menjadi jambatan bagi kita menuju ke istana raja di syurga. Jalan salib ini menjanjikan hidup yang bahagia.
Soalan renungan.
- Cuba fikirkan, sejak bila anda mengenali Yesus dan bagaimana anda telah mengenali Dia? Mungkin pengalaman anda ini boleh dikongsikan kepada kawan-kawan anda.
- Apakah cabaran yang paling berat bagi anda dalam mengikuti Yesus?
- “Sesiapa mahu menyelamatkan nyawanya, ia akan kehilangan nyawanya; tetapi sesiapa kehilangan nyawanya kerana Aku, Ia akan menyelamatkannya.” Bagaimana anda memahami dan menghidupi kata-kata Yesus ini?