Renungan Hari Minggu Biasa Ke 2 (C)

Yes 62:1-5;     1kor 12:4-11;     Yoh 2:1-11

 

matrimonyKehidupan suami isteri memang ada-ada saja. Misalnya suatu masa dahulu ketika memberi rekoleksi kepada para pasangan yang ingin diberkati perkahwinan mereka, saya memulakan suatu pertanyaan: “Jika malaikat maut datang dan bertanya kepada kamu berdua siapa yang mahu mati dahulu, bagaimana kamu menjawab?” Salah seorang daripada para suami tersebut, berdiri dengan muka yang serius dan berkata, “Saya akan mati dahulu.” “Kenapa?!” Tanya para suami yang lain hampir serentak. “Sebab, kalau isteri saya yang mati dahulu, pasti saya tidak berkesempatan masuk syurga kerana dia akan melaporkan semua dosa-dosa saya kepada St. Petrus.”

Kahwin memang mudah. Tetapi cabaran sesudah kahwin itulah yang sukar. Maka apa yang terjadi di Kana, boleh juga terjadi pada setiap pasangan suami isteri. Lambat laun, mereka pun akan mengalami, “Kehabisan wain,” walaupun Yesus selalu berada di tengah-tengah mereka.

Pada permulaan perkahwinan, semuanya kelihatan baik-baik belaka – ceria, gembira, aman damai, hidup bagaikan di syurga. Tetapi apabila masa berlalu, mereka mulai merasa keadaan hidup yang sebenar, nyata dan bukan igauan, barulah mereka sedar bahawa impian yang indah-indah itu rupa-rupanya tidak selalu betul. Sebab, nyatanya apabila dua orang individu terlalu dekat di antara satu dengan yang lain, masalah pasti terjadi. Perselisihan pasti terjadi hanya kerana perkara-perkara yang sepele yang akhirnya mengarah kepada perkara-perkara yang serius pula. Ketegangan terjadi dari semasa ke semasa, lalu mereka mulai sedar rupanya perkahwinan itu bukan perkara yang boleh dianggap sambil lewa dengan sikap endah tak endah.

Masing-masing mulai merasa cemas dan menyesali diri mengapa dahulu dengan mudah melafazkan kata-kata, “I love you.” Lalu dengan diam-diam berkata dalam hati kecil, “Kalau ku tahu dahulu, saya tidak akan pernah mahu kahwin dengan dia.”

cekcokDalam kata lain, mereka sudah mulai “Kehabisan Wain,” sebab mereka merasakan hidup berpasangan ini hanya membosankan, membantutkan potensi untuk hidup lebih maju, rutin belaka dan dipenuhi dengan rasa dendam kesumat terhadap kerenah pasangan yang “bikin panas”. Tetapi, oleh kerana kisah perkahwinan di Kana, dalam Injil itu tadi, maka para pasangan hendaknya jangan berputus asa. Marilah kita tumpuhkan perhatian kita terhadap contoh perkahwinan di Kana tersebut. Mereka kehabisan wain, lalu apa yang mereka lakukan? Bagaimana air yang masih ada itu boleh diubah menjadi wain, malah wain yang terbaik?

Jangan cemas! Akuilah dengan jujur bahawa “Wain” perkahwinan itu sudah habis. Bersyukurlah dengan “Air” yang masih ada. Seperkara lagi yang cukup menarik perhatian kita bahawa “Wain Lama” perlu dihabiskan agar “Wain Baru” dibawa masuk. Jadi, tidak perlu takut dan cemas. Kita perlu berpegang teguh pada satu dengan yang lain. “Buang yang keruh ambil yang jernih” sebab, “Lagikan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri” kata allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Maka masing-masing pasangan tidak perlu mencari aktiviti luar sebagai pengganti “wain” yang habis itu dengan harapan agar mencapai ketenangan hati.

Walaupun kita ada krisis rumah tangga, tetapi Tuhan sentiasa memberi kita kesempatan yang berlimpah untuk menjadikan perkahwinan kita sama atau lebih hebat daripada yang dahulu. Di sinilah khabar gembira Yesus itu berperanan bagi pasangan yang mahu Kristus campur tangan di dalam perkahwinan mereka. Hadir bukan hanya pada masa-masa yang serba ok, tetapi hadir pada setiap masa baik dalam suka mahupun duka.

Cinta kasih yang dahulu (= wain lama), memang sangat menyeronokkan. Tetapi biasanya hanya bersifat fizikal, perasaan dan sementara belaka. Cinta seperti ini perlu disingkirkan perlahan-lahan untuk memasuki ke tahap kasih yang membuat kita mengutamakan pasangan kita lebih dahulu. Kita mahu mengasihi bukan hanya mahu dikasihi dan difahami oleh pasangan kita.

heartKasih adalah menyeronokkan tetapi memerlukan pengorbanan. Kita perlu berusaha untuk berubah sikap daripada suka difahami, diberi perhatian kepada sikap memahami dan memberi dengan sukacita demi kebahagiaan pasangan. Perkara dan idea ‘gila’ ini memang sukar tanpa bantuan dan bimbingan pihak ketiga. Maka di sinilah kita perlukan Kristus. Yesus pernah berkata, “…wain yang baru tidak diisikan ke dalam kantong kulit yang tua” (Lk 5:37). Ini bererti bahawa jika wain baru itu mengalir, kita sendiri pun perlu menjadi manusia baru. Manusia yang mampu mengasihi sesamanya dengan lebih sungguh.

Apabila lelaki dan wanita berkahwin, mereka bukan lagi dua tetapi satu (Lih Ef 5:31). Tetapi masalah mulai muncul apabila mereka mahu menentukan yang mana satu. Lagi-lagi kisah suami isteri ini ada-ada saja. “Saya bergembira melihat engkau dan isterimu sudah berdamai semula,” kata seseorang kepada tetangganya. “Apa, berdamai? Kami tidak akan pernah berdamai.” “Tapi kenapa kemarin saya melihat kamu berdua sedang menggergaji kayu berdua-duaan?” “Oh itu kami sedang membagi-bagi harta, termasuk kayu balak yang kami kumpul dahulu.”

Kisah suami isteri memang lucu dan kelihatan bodoh. Tetapi percayalah, Yesus akan merubah ‘air’ kebodohan itu menjadi ‘wain’ cinta kasih bagi mereka berdua.

Hanya Yesus yang boleh melakukan itu semua, sebab tanpa cinta kasih, tidak ada ‘wain’ apapun yang boleh membahagiakan pasangan suami isteri. Maka bagi pasangan suami isteri, tujuan cinta kasih hanya satu, iaitu demi kebaikan dan kebahagiaan orang yang sangat dekat dan sangat kita kasihi. (JL)

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD:

  1. Perkahwinan merupakan suatu institusi yang dikehendaki Allah. Tahukah anda mengapa perkahwinan kristian katolik tidak boleh diceraikan?
  2. Apa yang harus ada di dalam perkahwinan agar ungkapan cerai itu tidak berlaku?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Ambil kesempatan untuk memohon maaf kepada pasangan atas segala kesilapan dan keterlanjuran yang menyakiti hati pasangan dengan cara diplomatik, secara langsung mahupun tidak langsung. Misalnya mengirim SMS, memberi hadiah atau berbuat sesuatu yang disukai oleh pasangan secara berterusan.

This will close in 20 seconds