Renungan Hari Minggu Ke 2 Musim Puasa (C)
Kej 15:5-12.17-18; Flp 3:17 – 4:1; Luk 9:28-36
Prapaska merupakan suatu musim pusingan liturgi yang sangat istimewa. Sebab pada musim ini kita disedarkan untuk melakukan sesuatu yang lebih demi iman kita dengan cara yang lebih intensif dan boleh dilihat. Misalnya kita diajak untuk berpuasa, berdoa dan bertaubat. Kita diajak untuk memeriksa diri dan merubah tingkah laku kita yang negatif. Kita diajak bermeditasi dan kemudian beraksi sosial dengan memberi derma kepada sesama yang memerlukan.
Jika kita fikirkan dengan teliti segala kejadian dan aktiviti di musim Prapaska, kita akan menyedari bahawa kita sebenarnya dibimbing untuk mengamalkan prinsip mengurangkan segala sesuatu yang kita rasakan mesti ada dalam hidup kita setiap hari. Pada masa yang sama pula, kita disedarkan bahawa sekurang-kurangnya sekali setahun, iaitu sepanjang masa prapsaka perkara-perkara yang kita anggap penting itu, boleh dikurangkan atau malah ditiadakan sama sekali. Ini bererti kita perlu mengurangkan makanan, mengurangkan keselesaan, mengurangkan merokok dan minuman keras, kurangkan menonton TV, kurangkan ini dan kurangkan itu… senarai untuk dikurangkan boleh berlarutan. Idea sepenuhnya adalah mengurangkan sahaja. Bukan hanya demi mendisplinkan diri, membuktikan bahawa kita boleh melakukannya atau melakukannya untuk mengurangkan berat badan dan saiz badan agar lebih berpotongan gitar atau saiz pakaian kembali ke L atau M. Dan tentunya bukan kerana ini adalah arahan Gereja sehingga wajib dituruti. Saya berpendapat pasti ada sebab yang penting mengapa kita perlu mengurangkan segala sesuatu. Di sini pulalah letak perbezaan antara puasa masa prapaska dengan kegiatan berdiet (mengurangkan makanan untuk menguruskan badan).
Mengurangkan segala sesuatu ini dilakukan agar membolehkan hati kita terbuka bagi sesama, dan mudah-mudahan terbuka pula bagi Tuhan. Mungkin masa prapaska adalah masa yang paling sesuai untuk bersantai dan bertenang sambil menikmati perhubungan yang mesra dengan teman-teman. Dengan kata lain pada masa inilah sebenarnya masa yang terbaik menumpukan lebih masa untuk sesama dengan cara “berjalan bersama sambil bercakap-cakap agar hubungan silaturahim semakin intim.”
Namun seperkara lagi yang lebih penting dalam masa prapaska ini adalah menyahut cabaran Injil tadi, iaitu kesanggupan untuk “mendengar”. Di dalam Injil tadi kita mendengar tentang peristiwa penampakan Kristus dalam kemuliaan-Nya bersama-sama dengan Musa dan Elia. Namun apa yang menarik di akhir penampakan tersebut adalah suara kedengaran dari syurga: “Inilah Putera kesayangan-Ku, dengarkanlah Dia.” Kemudian keadaan kembali tenang dan kelihatan hanya Yesus yang masih ada di sana. Ini bererti mengingatkan kita untuk melupakan segala sesuatu termasuk perkara-perkara yang remeh temeh buat seketika dan menumpuhkan segala perhatian hanya pada Yesus. Mendengarkan-Nya dengan telinga yang terbuka dan penuh perhatian. Buat seketika hendaknya kita melupakan segala kebimbangan kita untuk mendengar lebih teliti.
Selain mendengarkan Yesus, Injil mengajarkan kita juga untuk mendengar sesama dan menyedarkan kita betapa seringnya kita gagal mendengarkan dengan penuh perhatian. Perkara ini terjadi kerana kita terlalu membiarkan rasa prasangka menghantui fikiran kita sehingga menjauhkan tumpuan kita terhadap sesama yang perlu didengarkan. Memang kadang-kadang kita bercakap-cakap dengan sesama tetapi seringkali kita tidak sesungguhnya mendengarkan mereka sebab mendengar bukannya memberi nasihat (memang kita lebih suka memberi nasihat daripada diberi nasihat), tetapi membiarkan sesama kita memberitahu kita di mana dia, dan bukan di mana dia harus berada.
Apabila seseorang betul-betul mendengarkan kita, maka terciptalah suatu jambatan dan jurang yang dalam dapat diseberangi. Ketelitian mendengar merupakan sesuatu yang sungguh hebat dan menarik. Tetapi sayangnya perkara ini acapkali dilupakan.
Nampaknya menjadi jelas bagi kita sekarang mengapa kita perlu mengurangkan segala sesuatu, mengapa kita perlu berpantang, berpuasa, bertaubat dan mendisplinkan diri semasa prapaska ini adalah supaya kita dapat menenangkan hati, minda dan jasmani kita. Dengan berbuat demikian, mudah-mudahan hati kita tergerak untuk mendengarkan sesama kita dan mendengar suara Tuhan.
Kita semua mengalami bahawa apabila musik berkumandang dengan kuat, apabila TV menayangkan tayangan-tayangan yang menarik, apabila telepon bimbit sentiasa berbunyi dengan pelbagai bunyi setiap minit dan di mana terdapat 1001 macam kebimbangan yang menghantui kita, dan jarum jam seakan-akan begitu ligat berputar, apabila kita digoda untuk membeli ini dan itu, makan ini dan minum itu, nampaknya terlalu banyak kebisingan di dalam hati kita. Dan tentunya kebisingan yang pelbagai itu menyumbat pendengaran kita sehingga tidak dapat mendengar suara-suara hati sesama dan Tuhan.
Marilah pada ketika ini kita mengambil sikap yang tenang untuk mendengar– mendengarkan suara angin, burung-burung yang berkicau, suara-suara kerusi yang ditarik, suara nafas kita sendiri. Diamlah dan tenanglah semasa ibadat kita berjalan dan nikmatilah kehadiran dan suara Tuhan, sebab Tuhan pernah berkata: “Dengarkanlah Dia” (Lk 9:35) agar kita dapat meminta hikmat dan berkat daripada-Nya. (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongskian KKD.
1 Dalam Injil tadi kita mendengar Allah berfirman: “Inilah Putera kesayangan-Ku, dengarkanlah Dia.” Apakah yang anda fahami dengan firman-Nya ini dalam kehidupan anda sehari-hari?
2 Salib merupakan ciri khas pengikut-pengikut Kristus. Apakah “Salib” kehidupan yang kita harus pikul setiap hari?
Cadangan aktiviti minggu ini.
Renungkan beban salib kehidupan yang anda sedang pikul ketika ini. Apakah anda dapat bertahan hanya berbekalkan kebijaksanaan dan kekuatan anda? Cubalah meletakkan segala beban salib anda itu melalui campur tangan Tuhan. Mulakan hari anda dengan datang, duduk dan mendengarkan Sabda Tuhan.