KBK6 AJAK BELIA MENGENAL KEPERIBADIAN YESUS

Artikel oleh: Melissa Floly

MEMBAKUT: Khemah Belia Keuskupan kali ke 6(KBK6) telah bermula hari ini di St. Patrick Membakut dan dihadiri seramai 803 orang peserta dari setiap paroki dan mission di Keuskupan Keningau.

KBK6 yang merupakan anjuran Komisi Kerasulan Belia Katolik Keuskupan Keningau ini dijalankan selama 4 tahun sekali dan hari ini KBK6 secara rasminya dimulakan dengan Misa Pembukaan oleh Monsignor Gilbert Lasius, dibantu oleh Rev. Fr Benedict Runsab, Fr Rudolf Joannes,  Fr Appolonius Yakis, Fr Bede Morti dan turut kelihatan Bapa Uskup Cornelius Piong hadir untuk menyokong belia.

Msgr Gilbert dalam homilinya mengatakan program seperti ini memberi peluang kepada para belia lebih mengenali keperibadian Yesus Kristus, dan KBK6 ini juga salah satu cara belia dalam memenuhi tuntutan gereja sinodal, dengan 3 misi utama, mengenal Yesus, melayani sesama dan mengasihi sesama.

Seterusnya, program Welcoming Night yang dikendalikan oleh tuan rumah, St Patrick Membakut telah membawa peserta dalam lagu puji-pujian dan mereka disajikan dengan sebuah sketsa menceritakan perkembangan kehidupan umat Katolik di St Patrick Membakut dari dulu sehingga ke hari ini.

Bangkitlah belia jangan takut!

Mari melangkah, berjalan bersama

Nah… sudah sampai di Membakut

Shallom dan Hai untuk semua!

KATEKIS PEMBIMBING PUNYAI PERANAN PENTING MEMBANGUN IMAN UMAT YANG BERKUALITI

Artikel : Juanis bin Marcus

Keningau:- Bapa Uskup Cornelius Piong mengingatkan semua para Katekis Pembimbing bahawa pelayanan mereka mempunyai peranan yang sangat penting untuk membentuk iman umat yang berkualiti.

Pesanan itu disampaikan semasa memberikan ucap tama  Jelajah Perhimpunan Katekatikal  Sabah (PKS-2) peringkat Keuskupan Keningau, yang berlangsung di Dataran Keuskupan Keningau pada 11 Mar yang lalu.

Bapa Uskup Cornelius Piong menjelaskan mengapa para  katekis pembimbing mempunyai peranan penting dalam membentuk iman umat yang berkualiti kerana katekis pembimbing banyak terlibat dalam membimbing umat terutamanya dalam lingkungan umur seperti kanak-kanak dan remaja. “Apakah yang dimaksudkan dengan iman yang berkualiti? Iman yang diajarkan berdasarkan harapan dan cintakasih, inilah didikan yang seharusnya diberikan oleh katekis pembimbing’ tegas prelatus itu.

“Melihat cabaran, godaan dan bujukan dunia ini membuatkan kita hidup dalam ketakutan. Namun, dengan didikan agama yang baik oleh para katekis , pasti sedikit sebanyak membantu keuskupan kita dalam mencapai matlamat membangun umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan Allah,” tutup prelatus itu.

Msgr.Nicholas Stephen, yang juga pembimbing rohani bagi Komisi Katekatikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu juga senada dengan Bapa Uskup Cornelius. “Saya juga setuju dengan apa yang ditekankan oleh Bapa Uskup, sekiranya para katekis pembimbing dapat membantu dalam pembentukan iman berkualiti dikalangan umat, pasti memberikan kekuatan untuk menempuhi cabaran terutama keadaan sukar ketika ini selepas pandemik,” ujar Msgr.Nicholas. Klerus itu juga menekankan bahawa umat yang mempunyai kualiti iman yang baik dan teguh akan memudahkan umat dari 3 keuskupan di Sabah ini bersatu sabagai TUBUH KRISTUS.

Jelajah pertama bagi PKS-2 kali ini yang bertemakan “Katekis: Berjalan bersama dalam iman, harapan dan kasih”, dihadiri lebih dari 140 katekis pembimbing. Turut terlibat pengerusi-pengerusi dan tim penganjur dari 3 Keuskupan iaitu, Sr.Dariah Ajap, FSIC(Pengerusi Komisi Katekatikal Keukuspan Agung Kota Kinabalu), Sr.Christella Lim, FSIC (Pengerusi Komisi Katekatikal Keuskupan Keningau), Sr.Martina James, FSIC (Pengerusi Komisi Katekatikal Keuskupan Sandakan), Sr.Elizabeth Munggai FSIC(Tim), Aloysia Moguil(Tim), Primus Donatus, Rita Titing(Tim) , Benjamin Yurimos(Tim) dan Mary Intang(Tim).

Selain daripada Katekesis oleh Bapa Uskup Cornelius dan Msgr.Nicholas Stephen, para katekis pembimbing juga diberi input mengenai Sejarah Keuskupan agar mereka dapat mengenal lebih lagi asal-usul keuskupan dan menghargai usaha missionaries terdahulu dalam membawa Yesus Kristus ke Keuskupan Keningau.

Katekis Pembimbing juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk sesi perkongsian. Antara yang terbanyak diutarakan oleh para katekis pembimbing adalah harapan mereka agar dapat melihat lebih ramai umat terbuka hati untuk terlibat dalam pelayanan di gereja. Siri pertama Jelajah PKS-2 ini diadakan untuk mempersiapkan para katekis pembimbing khususnya dari Keuskupan Keningau dalam menuju Perhimpunan Katekatikal seluruh Sabah yang bakal dianjurkan pada 15-17 Sept mendatang pada tahun ini  di Katedral Sacred Heart, Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

PENERIMAAN KRISMA DI PAROKI ROH KUDUS SOOK

Berita bergambar & artikel pendek oleh: Sister Maria Thomas

Sook- Pada 11/09/2022, Misa hari minggu biasa ke – 24 yang bertemakan Allah yang maha pengasih Dan maha pengampun, menyaksikan seramai kira-kira 109 orang umat dari sekitar paroki menerima Sakramen Krisma yang disempurnakan oleh YM Bapa Uskup Dtk Cornelius Piong bersama-sama dengan paderi paroki gereja kudus Sook Rev Fr. Boniface Kimsin serta Rev. Fr. Roney Mailap selaku pembantu rektor. Ungkapan ribuan terima kasih kepada semua katikis pembimbing diatas komitmen & pelayanan mereka untuk membimbing sehingga calon-calon berjaya menerima Sakramen Krisma pada hari yang penuh berkat ini.

Bingkor Youth Day-Semarakan Semula Semangat Belia!!

artikel oleh : Veron

BINGKOR,KENINGAU: Ke manakah arah tuju belia selepas pandemik? Adakah para belia mampu berdepan dengan gelombang yang membawa kepada perubahan terbesar dalam pelayanan mereka? Bersiap-siagakah para belia dalam melangkah menuju ke arah proses kematangan iman?


Menyedari cabaran selepas lebih dua tahun dilanda pandemik COVID-19, para belia di Zon Bingkor menyahut baik seruan untuk membangkitkan dan menyemarakkan semula semangat muda menerusi Bingkor Youth Camp 2022. Bingkor Youth Camp yang juga merupakan aktiviti perkhemahan belia terbesar di Zon Bingkor akan berlangsung selama 4 hari bermula 5 hingga 8 September 2022 bertempat di KUK Saint James The Appostle Bunsit yang menganggarkan penyertaan seramai 150 belia di sekitar Zon Bingkor.Yuran penyertaan adalah sebanyak RM 70.00 (termasuk T-Shirt)

Saudara Frindey Sukor yang merupakan salah seorang pencetus idea Bingkor Youth Camp mendapat inspirasi selepas menyertai Program Jelajah Belia Sinodal. Antara soalan yang dibangkitkan melalui program ini ialah “Bagaimanakah cara untuk membangkitkan semula semangat para belia untuk kembali melayani selepas COVID-19 melanda?”


Saudara Frindey Sukor dan Saudara Jamson James (Koordinator Bingkor Youth Camp) bersama beberapa lagi orang belia yang terlibat sama  menyahut baik cabaran bagi menyemarakkan semula semangat para belia yang juga bertindak sebagai nadi gereja dalam  membantu mengembangkan dan seterusnya melaksanakan program-program serta aktiviti-aktiviti pemantapan iman umat setempat apatah lagi selepas fasa pandemik sudah pun berlalu.

Salah seorang pencetus idea Bingkor Youth Day Sdra.Frindey Sukor

Empat objektif utama yang menjadi intipati program ini ialah memupuk semangat melayani di kalangan belia, memantapkan iman Katolik para belia agar berani bersaksi dan mampu menjadi pemimpin gereja pada masa akan datang, menyedarkan para belia bahawa kehadiran Kerajaan Allah adalah anugerah yang nyata dalam pribadi mereka serta merayakan iman Katolik dalam kesatuan umat Allah.

Bingkor Youth Camp adalah satu program yang mengetengahkan konsep keluarga angkat. Ketika ditanya, Sdra Frindey Sukor menjelaskan bahawa keluarga angkat bukan sahaja berperanan besar dalam menyediakan tempat tinggal kepada para peserta tetapi juga memikul tanggungjawab sebagai ibubapa selama mana program ini diadakan. Secara tidak langsung, para peserta juga berpeluang untuk merasai sendiri kehidupan keluarga angkat mereka.

Bingkor Youth Camp akan turut menampilkan beberapa tetamu undangan bagi menyerikan lagi Welcoming Night Concert yang bakal diadakan kelak. Antara tetamu undangan yang akan memeriahkan lagi program ini ialah Steffanus Able (Mr. Kaamatan State Level 2022), Erney Leonard Alai (Pemenang Sugandoi DUN N.40 Bingkor), Elica Paujin (Juara Big Stage 2022), dan Rosario Bianis (Juara Bintang RTM 2016).

Sdra Frindey Sukor berharap agar Bingkor Youth Camp bukan sahaja dapat menyegarkan semula jiwa para belia untuk kembali melayani tetapi juga sebagai simbolik kepada bermulanya satu pelayanan.

MISA KUDUS MARIA DIANGKAT KE SURGA DI ZON SENAGANG
“BONDA MARIA YANG PENUH KASIH”

SENAGANG, KENINGAU: Umat dari KUK-KUK di bawah naungan Zon Senagang merayakan Misa Kudus bersempena Pesta Bonda Maria Diangkat Ke Syurga di Gereja St. Yohanes Penginjil Senagang yang dipimpin oleh Fr. Joseph Gapitang pada 15 Ogos 2022.  Para katekis dan pembantu pelayan komuni yang melayani di Zon Senagang juga turut hadir dalam membantu dan melayani dalam perayaan ekaristi ini.

Fr. Joseph Gapitang pada awal misa kudus menyatakan rasa syukurnya kerana dapat merayakan perayaan ini bersama-sama dengan umat di Zon Senagang.

“Seperti pengalaman saya sendiri dan mungkin juga kamu, pada saat kesusahan dan bahaya kita umat menyerukan pertolongannya sebab kita yakin bahawa Bonda Maria akan mendengar dan menolong kita. Pada masa kita putus asa dan tiada harapan kita memandang Bonda Maria sebagai bonda yang “penuh kasih”. Dan kita juga harus ingat bahawa tidak cukup hanya berdevosi kepada Santa Maria tetapi Ibu Yesus seharusnya menjadi teladan kehidupan yang sesuai dengan kehendak Allah” kata Fr Joseph dalam homilinya dalam perayaan misa kudus tersebut.

Klerus itu juga mengingatkan bahawa kita juga dipanggil seperti Maria untuk menjadi pendengar dan pelaksana sabda Allah dan kita juga diajak untuk menghidupi kehidupan kita tanpa sikap acuh tak acuh jika kita ingin ke syurga.

Sebelum memberi berkat penutup Fr Joseph Gapitang telah mengongsikan kepada umat-umat yang hadir dalam misa kudus tersebut, perasaan bahagia dan gembiranya semasa merayakan misa kudus ini. Selebran juga mengajak para umat untuk berdoa 3 kali Salam Maria setiap hari dan percaya amalan tersebut menyebabkan hari kita lebih diberkati. – Oliver Nick Ubing