Renungan Hari Jumaat Agung
Yes. 52:13 – 53:12; Ibr. 4:14-16; 5:7-9; Yoh. 18:1 – 19:42
Cubalah anda renungkan apakah dosa dunia masa kini yang betul-betul anda tahu dan menyedarinya? Di antara dosa-dosa tersebut, yang mana satukah yang sungguh mengganggu perasaan dan minda anda? Setiap hari kita mendengar, membaca dan melihat di dalam pelbagai saluran media massa tentang kezaliman dan pembunuhan, pengedaran pelbagai jenis dadah secara berleluasa, kegiatan membuli di sekolah dan juga di tempat kerja, pemerasan dan penipuan di dalam perniagaan.
Sementara di arena internasional pula, kita disedarkan tentang orang-orang yang tidak berdosa dibunuh beramai-ramai atau dihalau daripada tanah tumpah darah mereka sendiri. Orang-orang miskin diperalatkan oleh orang-orang kaya serta keperluan asas kehidupan mereka dirampas secara tidak adil.
Di dalam komuniti dan keluarga kita pula, kita dapat melihat pelbagai dosa yang cukup menakutkan juga; perselisihan suami isteri, perceraian, meminum minuman keras yang keterlaluan. Dan akhirnya kita sendiri pun bergelut dengan dosa-dosa kita sendiri.
Setiap kali kita membenarkan diri kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan suara hati kita, kita sebenarnya telah menyalibkan Yesus. Kita menyalibkan-Nya apabila kita mula merasakan kehadiran-Nya mengganggu gaya kehidupan harian kita.
Yesus memang sentiasa menegur suara hati kita melalui kebenaran-kebenaran yang telah di tanam ke dalam hati kita sehingga mengusik jiwa kita agar meninggalkan segala keinginan duniawi kita yang sifatnya hanya sementara serta memudaratkan jiwa dan raga kita.
Terlalu banyak dosa, terlalu banyak kejahatan yang telah kita lakukan! Lalu apakah penyelasaiannya? Yesus pernah berkata, “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang telah memberikan nyawanya untuk sahabat-sahabatnya” (Yoh 15:13). Yesuslah jawaban ke atas segala dosa kita, sebab dia telah menebus kita dengan Darah-Nya.
Yesus mati untuk menebus segala dosa kita. Hal ini dijelaskan sendiri oleh St.Petrus yang mengatakan: “Sebab kamu tahu, bahawa kamu telah ditebus dari cara hidupmu yang sia-sia yang kamu warisi dari nenek moyangmu itu bukan dengan barang yang fana, bukan pula dengan perak atau emas, melainkan dengan darah yang mahal, iaitu darah Kristus yang sama seperti darah anak domba yang tak bernoda dan tak bercacat, oleh Dialah kamu percaya kepada Allah yang telah membangkitkan Dia dari antara orang mati dan yang telah memuliakan-Nya, sehingga imanmu dan pengharapanmu tertuju kepada Allah” (1Pet 3:18-19,21).
Yesus telah memilih salib, maka salib menjadi asas kebijaksanaan kita. Sebab, apabila kita memilih kesengsaraan dan dihina kerana Kristus, itu merupakan suatu perbuatan yang mulia. Bahawa sikap kita yang lebih memilih untuk mempedulikan orang-orang lemah, miskin dan tidak berdaya, merupakan sikap yang benar di mata Tuhan. Maka apabila nanti kita datang menghormati salib Yesus, itu melambangkan revolusi yang dimulai oleh Yesus sendiri, iaitu memilih untuk disalibkan agar nanti ditinggikan dan dimuliakan oleh Allah.
Kita harus dapat melihat Yesus melalui sesama kita terutama mereka yang sungguh memerlukan. Orang-orang yang miskin, lapar, sakit, menderita bukan hanya jasmani tetapi juga yang menderita secara rohani. Dengan berbuat demikian, maka kita akan dijadikan oleh Yesus sebagai saudara-saudari-Nya yang terdekat, sebab Dia pernah berkata, “Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku” (Mt.25:40).
Dalam kata lain, salah satu perbuatan kita yang pasti disukai Tuhan adalah jika kita mahu mencontohi semangat-Nya untuk sentiasa dapat “menebus” sesama kita, terutama mereka yang tidak berdaya, yang mengalami penderitaan dan yang hidupnya tersingkir di dalam masyarakat.
Hari ini kita semua diberi kesempatan untuk menghormati salib, kerana Yesus pernah tergantung di atasnya, sampai wafat demi penebusan dosa kita. Sementara menyertai upacara ini, marilah kita renungkan rangkai kata lagu yang bertajuk, ‘seperti yang Kau ingini,’ ciptaan oleh Jonatan Prawira:
Bukan dengan barang fana
Kau membayar dosaku
Dengan darah yang mahal
Tiada noda dan cela
Bukan dengan emas perak
Kau menebus diriku
Oleh segenap kasih
Dan pengorbanan-Mu
Ku telah mati
Dan tinggalkan cara hidupku yang lama
Semuanya sia-sia dan tak bererti lagi
Hidup ini ku letakkan
Pada mezbahmu ya Tuhan
Jadilah padaku, seperti yang Kau ingini
Marilah kita sama-sama tanamkan ke dalam hati dan fikiran kita apabila tiba di salib sambil mengucapkan, “Sembah sujud kami kepada-Mu, Yesus, sebab kami ini orang berdosa!” (JL)
Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:
- Apa sebenarnya yang kita peringati setiap kali kita merayakan Jumaat Agung?
- Setiap kali kita merayakan Jumaat Agung kita berkesempatan untuk menghormati salib. Menurut anda apakah tujuan penghormatan salib tersebut?