AMBIL KESEMPATAN UNTUK BERTAUBAT

Renungan Hari Minggu Ke 3 Musim Puasa (C)

Kel 3:1-8,13-15;     1Kor 10:1-6, 10-12;     Luk 13:1-9

 

red cardKad merah sangat ditakuti oleh para pemain bola sepak. Sebab jika seseorang pemain itu dilayangkan dengan kad merah, maka itu bererti tiada lagi maaf baginya dan ia harus keluar dari padang permainan. Tetapi sebelum kad merah ini dilayangkan, sebenarnya masih ada dua tahap sebelumnya dilakukan oleh sang pengadil. Pertama, beliau akan memberi amaran kepada pemain yang bersalah itu. Kalau kesalahan tersebut diulangi lagi maka kad kuning akan dilayangkan, kad merah itu adalah yang terakhir dan muktamad.

Demikian juga dengan sukan yang lain. Semuanya ada maaf tapi ada hadnya. Misalnya dalam sukan lompat tinggi dan besbol. Jika kita gagal melompati atau gagal memukul bola sebanyak tiga kali berturut-turut maka berakhirlah penyertaan kita dalam pertandingan untuk mendapatkan kejuaraan.

Kesemua syarat-syarat yang berhad ini mungkin dipengaruhi oleh sikap manusia itu sendiri yang suka memberi had dalam mengampuni atau memberi kesempatan kepada sesamanya. Misalnya apabila ada seseorang bersalah pada kita, maka kita selalu mengungkapkan kata-kata, “Awas! Ini yang terakhir. Lain kali tiada maaf lagi bagimu!” Atau jika seseorang itu diberi suatu tugas tapi kita anggap kurang memuaskan, maka apabila tamat tempoh masa tugasnya kita tidak mahu membaharuinya walaupun dia memohon supaya diberi kesempatan sekali lagi, lengkap dengan janji untuk berbuat yang lebih baik lagi.

pengampunan

Pengalaman menunjukkan bahawa seringkali terdapat had dalam hal mengampuni di dalam hati setiap manusia. Pemilik pokok ara dalam Injil tadi pun mempunyai perasaan yang sama seperti kita. Beliau menghendaki agar pokok ara tersebut ditebang oleh pengurus kebunnya, “Sudah tiga tahun aku datang mencari buah pada pohon ara ini dan aku tidak menemukannya. Tebanglah pohon ini! Untuk apa ia hidup di tanah ini dengan percuma” (ay 7) katanya.

Kayu ara tersebut sebenarnya mewakili diri kita masing-masing. Allah (=pemilik pokok ara tersebut) menghendaki agar Dia menemukan buah yang baik di dalam diri kita. Dalam hal ini rupa-rupanya Allah pun mempunyai kesabaran yang terhad pula.

Yesus, yang digambarkan sebagai pengurus ladang tersebut menjadi perantara dan berunding dengan Allah Bapa bagi pihak kita manusia, “Tuan, biarlah dia tumbuh tahun ini lagi” (ay 8a), lengkap dengan sebab mengapa perlu diberi kesempatan sekali lagi. “…Aku akan mencangkul tanah sekeliling dan memberi baja kepadanya. Mungkin tahun depan ia berbuah” (ay 8a,9a). Dalam hal ini fikiran Tuhan Yesus adalah lebih kepada memberi kesempatan bukan pada penghapusan dan Dia bukan bermaksud pada pokok ara tersebut tetapi Dia bercakap tentang manusia yang bergelut dengan kehidupan.

Masyarakat kita di zaman yang serba mencabar ini seakan-akan dengan mudah saling berteriak, “Dengan tiga kiraan kamu pasti tewas!” Bagaikan perlawanan gusti, apabila tidak ada tindak balas sesudah kiraan tiga, maka dikira tewas. Tetapi nampaknya Yesus dalam petikan Injil hari ini seakan-akan berkata dengan tenang dan penuh nada cinta kasih menambah, “Tambahkan lagi dengan kiraan yang ke empat.” Yesus sentiasa membayangkan kemajuan dan memberkati usaha-usaha kita walaupun tidak sempurna. Belas kasihan merupakan suatu sifat kebaikan sangat positif, yang seharusnya tidak dipandang sebagai kelemahan.

Saya masih ingat waktu zaman kanak-kanak. Apabila ada sedikit perselisihan faham semasa bermain, pasti aksi bertumbuk menjadi lumrah. Tetapi celakanya, ada teman-teman yang lain memberi batu api sambil berteriak, “Tumbuk dia sekali lagi.” Bayangkanlah suasana yang pada mulanya sangat menyeronokkan menjadi huru hara sekelip mata. Bayangkanlah juga jika amalan-amalan yang negetif ini diamalkan di dalam hidup kita seharian.

Tetapi bayangkanlah jika sikap Yesus yang suka memberi kesempatan pada orang lain untuk menjadi lebih baik itu kita amalkan setiap hari. Pastilah dunia ini menjadi suatu tempat yang aman damai.

imagesSanto Petrus pernah menyangkal Yesus sebanyak tiga kali, tetapi diberi kesempatan oleh Yesus sekali lagi dan sejak itu Petrus tidak lagi pernah meninggalkan Yesus. Malah Dia diangkat menjadi Paus yang pertama dan mati sebagai seorang martir. Tanpa kiraan Yesus yang “ke empat” itu, seluruh tulisan sejarah umat kristian pasti bukan apa yang tercatat sekarang. Sedihnya pula, Yudas yang telah diberi kesempatan sekali lagi, telah menolaknya begitu sahaja. Akibatnya? Wallahualam.

Pengampunan merupakan sifat Tuhan kita yang bukan untuk kita salahgunakan sebab kita tahu Tuhan itu memang pemurah dan pengasih, tetapi digunakan oleh orang-orang yang lemah dan bergelut untuk menghadapi cabaran-cabaran hidup seperti kita yang berada di sini.

Tuhan memang tahu kelemahan kita, maka itulah sebabnya Dia bukan mengampuni kita terhad hanya kiraan “tiga” atau “empat” sahaja, tetapi sampai kepada “tujuh kali tujuh” malah sampai pada kiraan “tujuh puluh kali tujuh kali” (Mt 18:22) alias pengampunan tanpa had.

Perumapaan Tentang Pohon Ara

Melalui perumpamaan Injil hari ini, pokok ara yang tidak berbuah itu melambangkan manusia. Tuan yang terlalu ‘mengira’ adalah ‘bos’ dan Yesus sebagai pengurus ladang. Perselisihan dimenangi oleh kasih yang maha suci dan akhirnya kiraan tersebut berakhir dalam keadaan yang menggembirakan. Sang pokok ara diberi kesempatan untuk berbuah. Pokok ara (=kita manusia) jangan sampai lupa siapa yang membuat tuan ladang sehingga menukar fikirannya dan memberikan kesempatan sekali lagi, iaitu si pengurus ladang alias Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kita. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

  1. Beriman bererti sanggup meninggalkan kepentingan peribadi demi sesama. Menurut anda, apakah kepentingan-kepentingan peribadi yang perlu kita tinggalkan demi kepentingan sesama itu?
  2. Santo Paulus pernah berkata, “Siapa yang menyangka, bahawa ia teguh berdiri, hati-hatilah supaya ia tidak jatuh” (1Kor 10:12). Apa yang anda fahami kata-kata ini sehubungan dengan hidup kita terutama masa Prapaska ini?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Baca kata-kata St. Paulus ini berkali-kali “Siapa yang menyangka, bahawa ia teguh berdiri, hati-hatilah supaya ia jangan jatuh” (1Kor 10:12). Lebih baik lagi ditulis dengan tulisan yang besar, diletakkan di pintu atau tempat-tempat yang mudah dilihat, untuk menyedarkan sikap keegoan kita yang selalu menganggap diri ini serba ok, padahal banyak dosa yang mengerogoti kehidupan kita secara perlahan-lahan.

Sharing is caring!